Tuesday, October 12, 2010

Panduan untuk kes tuntutan kecil (tidak melebihi RM5,000.00)

Salam sejahtera,

saya ingin berkongsi sedikit maklumat am yang mungkin telah diketahui ramai. Kepada yang belum tahu mengenai hal ini, sila ambil perhatian bahawa sekiranya anda mempunyai tuntutan yang tidak melebihi RM5,000.00 maka anda boleh mengemukakan sendiri tuntutan anda di Mahkamah Tuntutan Kecil (dikendalikan di Mahkamah Majistret), tanpa perlu melantik peguam. Oleh yang demikian, pihak yang menuntut dapat menjimatkan kos kerana tidak memerlukan kehadiran peguan di mahkamah.

Bagi kes tuntutan kecil ini, memandangkan kehadiran peguam adalah tidak dibenarkan di mahkamah, maka pihak yang menuntut perlu bertindak sendiri ketika kes dibicarakan di hadapan Majistret.

Untuk meneruskan dengan tuntutan kecil, pihak yang menuntut perlu mengisi Borang 164 (boleh dapatkan dari kaunter Mahkamah Majistret yang berdekatan).

Walaupun tidak dibenarkan untuk melantik peguam bagi mewakilinya di mahkamah, pihak yang menuntut boleh melantik peguam untuk tujuan mengisi Borang 164 dan mendapatkan khidmat nasihat mengenai cara untuk mengendalikan sendiri tuntutan di Mahkamah kelak. Perlu diingat, apabila anda melantik peguam untuk khidmat nasihat undang-undang berkenaan tuntutan kecil ini, maka ianya melibatkan kos guaman (untuk urusan khidmat nasihat).

Sekian, maklumat ringkas yang dapat dikongsi buat masa ini.